Sesetengah ibu mungkin akan terkejut dan rasa kurang percaya apabila doktor mengatakan kandungan mereka kembar.Mungkin ramai ibu suka dan amat berharap dikurniakan kandungan kembar. Mereka ini mungkin berpendapat bahawa hanya dengan sekali mengandung tetapi dapat melahirkan dua orang cahaya mata.
Walau apa pun pendapat dan tanggapan mereka, bagi doktor semua kandungan kembar adalah kandungan yang berisiko tinggi.Salah satu faktor yang menyebabkan kadar kembar semakin tinggi kini ialah penggunaan ubat-ubatan untuk rawatan ketidaksuburan di kalangan wanita. Ini termasuklah pengambilan pil subur (clomiphene citrate) iaitu rawatan yang sering digunakan untuk merangsang pengeluaran ova (telur) dari kilang telur atau ovari.
Jika terlalu banyak telur dikeluarkan pada waktu subur kandungan kembar mungkin akan terjadi. Penggunaan teknik canggih seperti IVF serta penggunaan suntikan (gonnadotrophin) untuk ovulasi juga boleh mengakibatkan kadar kandungan kembar yang tinggi.
Kandungan kembar boleh dibahagikan kepada dua jenis.
1.Kembar seiras (Identical twin atau monozygotic twin)
Jenis-jenis kembar seiras adalah seperti:
a) Diamniotic dichorionic monozygotic twin
Ia terjadi apabila belahan berlaku dalam masa 72 jam selepas persenyawaan.
Jenis kembar ini mempunyai uri dan sarung berasingan. Insiden berlakunya kembar ini adalah 30 peratus.
Kematian kandungan kembar ini adalah paling rendah sekali iaitu 9 peratus berbanding jenis kembar yang lain.
b) Diamniotic monochorionic twin
Ia terjadi jika belahan berlaku dalam masa empat hingga lapan hari selepas persenyawaan.
Kembar jenis ini berkongsi satu uri tetapi mempunyai dua sarung berasingan. Insiden berlakunya kembar jenis ini adalah paling tinggi iaitu 68 peratus. Kematiannya pula adalah sebanyak 25 peratus.
c) Monozygotic monochorionic twin
Ia berlaku apabila belahan terjadi pada hari kelapan atau lebih. Insiden kembar jenis ini cuma dua peratus sahaja.
Ia mencatatkan kematian yang tertinggi iaitu 50 peratus.
Kematian janin biasanya berlaku apabila tali pusat berbelit atau akibat daripada twin transfusion.
d) Conjoined twin
Ia berlaku apabila belahan terjadi selepas pembentukan disc embrio. Insiden kembar sebegini cuma satu dalam 60,000 kelahiran.
2.Kembar tidak seiras (Fraternal twin atau dizygotic twin)
Ia melibatkan persenyawaan dua ova yang berlainan. Persenyawaan boleh berlaku pada kitaran haid yang sama atau kitaran haid yang berlainan. Kembar ini boleh mempunyai jantina yang berlainan dan uri yang berasingan.
Masalah-masalah atau risiko-risiko yang sering dikaitkan dengan kandungan kembar adalah seperti di bawah:
* Kelahiran pramatang (Premature delivery).Faktor pramatang inilah menjadi penyebab utama mortaliti dan morbiditi dalam kandungan kembar.
* Pertumbuhan janin yang terencat (intrauterine growth retardation). Pembesaran yang tidak simetri boleh berlaku dalam kadar 15 peratus hingga 30 peratus. Ia berlaku akibat bekalan darah yang terganggu terutama jika janin berkongsi uri. Ini sering terjadi di kalangan kembar jenis monozygotic.
* Kematian perinatal (perinatal mortality). Ia boleh terjadi dalam anggaran 10-15 peratus iaitu lebih kurang 3-11 kali lebih kerap berbanding dengan kandungan single. Kematian ini adalah berpunca daripada pramatang, kecacatan kongenital, twin transfusion syndrome dan trauma kelahiran.
* Keguguran (abortion). Masalah ini boleh terjadi dua kali lebih kerap di kalangan kandungan kembar berbanding dengan kandungan single.
* Kecacatan kongenital (congenital malformation). Ia dikatakan dua kali lebih kerap terjadi di kalangan kandungan kembar berbanding dengan kandungan single. Masalah ini adalah lebih kerap dilihat pada pasangan monozygotic.
* Kedudukan bayi yang normal (malposition). Jika kedudukan bayi itu melintang atau menyongsang, kelahiran secara pembedahan Caesarean harus dilakukan. Ada kalanya pembedahan Caesarean juga dilakukan untuk kelahiran kembar kedua jika menghadapi masalah.
* Placenta previa (kedudukan uri bawah) juga dikatakan sering terjadi pada kandungan kembar.
sumber: utusan malaysia
*(Oleh Dr. Suraya Zainal A.M.Z., Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G))
ahaks :)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.